Pengaruh Elemen Cerita Binatang Berbentuk Digital ke atas Ujaran Kanak-kanak Sindrom Asperger
DOI:
https://doi.org/10.15282/ijleal.v2.466Keywords:
Sindrom Asperger, Ujaran, Cerita berbentuk digitalAbstract
Sindrom Asperger merupakan sindrom yang memperlihatkan kecelaruan dan kesukaran dalam diri seseorang individu dari segi interaksi sosial dan komunikasi. Interaksi ujaran kanak-kanak sindrom ini dapat dikembangkan menerusi pendekatan berbentuk penceritaan dan pendigitalan. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti jenis binatang dalam cerita Sang Singa dan Sang Tikus yang merangsang interaksi ujaran kanak-kanak sindrom Asperger serta menganalisis perkaitan Theory of Mind (ToM) dan Teori Analisis Wacana terhadap refleksi ujaran kanak-kanak sindrom Asperger. Dua orang kanak-kanak sindrom Asperger dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) yang berumur sembilan dan dua belas tahun dipilih sebagai subjek kajian. Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah temu bual, rakaman dan pemerhatian. Hasil kajian ini memperlihatkan bahawa terdapat jenis binatang dalam cerita Sang Singa dan Sang Tikus yang berjaya merangsang ujaran kanak-kanak sindrom Asperger serta berlaku juga perkaitan antara ToM dengan Teori Analisis Wacana terhadap mental dan penghasilan ujaran kanak-kanak tersebut. Kajian ini diharapkan dapat menjadi pemangkin ke arah penciptaan pendekatan dengan penerapan elemen penceritaan dan pendigitalan terhadap perkembangan interaksi dan komunikasi sosial kanak-kanak sindrom Asperger.