Analisis Keperluan Bahasa Arab untuk Tugasan Rasmi Anggota Tentera Malaysia di Negara Arab
DOI:
https://doi.org/10.15282/ijleal.v3.478Keywords:
Analisis keperluan, Bahasa Arab, Kegunaan anggota tenteraAbstract
Bahasa sasaran berperanan penting untuk membantu pelaksanaan tugas anggota tentera di luar negara termasuk negara Arab. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) antara kumpulan yang dilibatkan dalam tugasan rasmi seperti operasi haji di Arab Saudi di bawah kelolaan Tabung Haji (TH) yang melibatkan penggunaan bahasa Arab. Sekalipun begitu, sukatan pelajaran bahasa Arab khusus untuk tujuan tugas rasmi seperti ini masih belum diwujudkan dalam sistem pendidikan bahasa ATM. Oleh itu keperluan mewujudkan kursus bahasa Arab yang bersesuaian untuk tujuan tersebut adalah penting. Objektif kajian ini adalah untuk meneroka perspektif anggota KAGAT berkenaan penggunaan Bahasa Arab dalam operasi haji, dan menganalisis keperluan bahasa sebagai langkah pertama untuk mewujudkan sukatan pelajaran Bahasa Arab yang bersesuaian. Kajian ini ialah kajian pelbagai kes yang menggunakan temu bual serta triangulasi untuk kesahan data. Data diproses dengan menggunakan perisian NVivo9 dan dianalisis mengikut tema. Kajian ini mendapati bahawa anggota KAGAT mengakui kepentingan Bahasa Arab untuk tujuan operasi haji. Kajian ini turut menyenaraikan keperluan bahasa dari perspektif anggota KAGAT bagi tujuan operasi haji yang dapat menjadi panduan awal untuk membina sukatan pelajaran yang bersesuaian. Garis panduan tersebut perlu diambil kira oleh pihak perancang dan tenaga pengajar khususnya untuk membentuk kursus bahasa untuk tujuan khusus.