Kesan Pendekatan Pendidikan Integrasi Ilmu Dalam Mata Pelajaran Berasaskan Projek Reka Cipta Terhadap Pembangunan Potensi Spiritual Dan Pencapaian Daya Kreativiti Pelajar
Abstract
Mata pelajaran berasaskan projek rekacipta sering dikaitkan dengan pembangunan daya kreatif dan inovatif. Namun pembangunan daya kreatif dan inovatif sering dikaitkan dengan kebolehan berjiwa seni yang lahir dari jiwa yang mempunyai hubungan rapat dengan Pencipta. Oleh itu kajian ini dijalankan bagi melihat kesan pendekatan pendidikan integrasi ilmu dalam mata pelajaran rekabentuk yang bertujuan membawa pelajar mengenal Pencipta terhadap tahap pencapaian pemikiran kreatif dan inovatif. Pencapaian pemikiran kreatif dan inovatif diukur berdasarkan faktor kecerdasan spiritual, gred pencapaian dan faktor afektif. Seramai 20 orang pelajar terlibat dalam kajian rintis dan nilai kebolehpercayaan ialah α = 0.86. Data dikumpul melalui soal selidik dan dianalisis menggunakan Statistical Package For Social Science (SPSS) versi 19.0. Hasil dapatan kajian menunjukkan kesan pendekatan pendidikan integrasi ilmu terhadap pembangunan potensi spiritual pelajar adalah tinggi dengan min purata 4.90, dan afektif sedikit rendah iaitu 4.10 tetapi masih berada ditahap tinggi. Perbandingan gred pula menunjukkan pelajar yang mendapat gred A menguasai kecerdasan spiritual yang setara dengan kumpulan pelajar dengan gred yang lebih rendah tetapi memiliki tingkahlaku atau afektif sebagai seorang pereka yang lebih baik daripada pelajar yang mendapat gred yang lebih rendah. Hasil dapatan kajian ini membuktikan pendekatan integrasi ilmu dalam mata pelajaran rekabentuk mampu membantu pelajar untuk mendapat pencapaian gred yang tinggi dengan keseimbangan pencapaian mereka dari sudut kecerdasan spiritual dan pembangunan afektif atau tingkahlaku seorang pereka.