Pembangunan Kecerdasan Spiritual Pelajar Berasaskan Model Tazkiyah Al-Nafs Al-Ghazali di Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Keywords:
Kecerdasan spiritual, tazkiyah al-nafs, al-Ghazali, etika dan moral, kemahiran insaniahAbstract
Kajian ini mengkaji tentang pembangunan kecerdasan spiritual berasaskan model tazkiyah al-nafs al-Ghazali dalam pelaksanaan program kecerdasan spiritual-kemahiran insaniah di Universiti Malaysia Pahang (UMP). Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti bentuk amalan kecerdasan spiritual yang dilaksanakan berasaskan konsep riyādu al-nafs. Seterusnya, menilai tahap kefahaman elemen tazkiyah al-nafs dan akhirnya, melihat kesan kefahaman elemen tazkiyah al-nafs dalam aspek pembentukan moral dan etika peserta melalui program kecerdasan spiritual-kemahiran insaniah. Kajian ini merupakan kajian tinjauan berbentuk kuantitatif iaitu data-data kajian diperolehi melalui kaedah soal selidik semasa program dilaksanakan. Dapatan kajian keseluruhannya menunjukkan amalan qiam al-layl dan puasa sunat sukar untuk dilaksanakan sebagai amalan kecerdasan spiritual peserta dan nilai min bagi aspek kefahaman ibadat dan tazkiyah al-nafs berada di tahap sederhana tinggi. Ujian korelasi pula menunjukkan terdapat hubungan yang lemah (r = 0.24) dan signifikan (sig.= 0.01) antara kefahaman ibadat dan tazkiyah al-nafs. Justeru, kajian ini merumuskan bahawa aspek kefahaman dan amalan mujāhadah al-nafs sebagai elemen tazkiyah al-nafs perlu dimantapkan bagi memenuhi objektif pelaksanaan program kecerdasan spiritual-kemahiran insaniah di Universiti Malaysia Pahang (UMP).